👩🦱 Kisah Mariam & Hakim
Malam itu sunyi. Mariam baring di sebelah anak-anaknya yang sudah lena. Matanya terbuka, memandang siling. Hatinya kosong. Bukan sekali, tapi berkali-kali dia pernah meminta pelukan dan belaian dari Hakim.
“Abang… temankan saya malam ni. Saya rindu abang.”
Tapi jawapan Hakim tetap sama — “Abang penatlah. Esok kerja lagi.”
Hari berganti bulan, bulan bertukar tahun. Hakim semakin biasa tidur sendirian di bilik kerja, meninggalkan Mariam tidur bersama anak-anak. Kerana kesunyian lah Mariam mengambil keputusan tidur bersama anak-anak setelah suami yang dinanti tidak muncul-muncul di bilik kelamin mereka.
Hati Mariam makin tawar. Namun sebagai seorang isteri, tanggungjawabnya tidak pernah dia abaikan. Makanan tetap tersedia, baju suami sentiasa bersih, segala urusan rumah dan anak-anak — dari sekolah, klinik, taska, bayar bil-bil, membeli lauk sampailah servis kereta dan bayar roadtax — semuanya di bahu Mariam seorang. Hakim hanya uruskan dirinya sendiri, seperti lelaki bujang. Sampailah pada satu malam. Hakim tiba-tiba mengetuk pintu bilik anak.
“Mariam… mari sini, abang nak awak.”
Mariam diam, berpura-pura tidur. Hakim memanggil lagi.
“Mariam, jangan buat abang macam ni. Abang nak bersama dengan awak.”
Mariam tetap tidak berganjak. Hatinya keras. Terlalu banyak luka. Terlalu banyak kecewa. Berkali-kali Hakim memanggil, akhirnya dia berang.
“Sudahlah! Ikut suka kaulah!” Pintu dihempas kuat.
Keesokan paginya, sebelum keluar kerja, Hakim sempat bersuara dengan wajah tegang.
“Mariam… kalau abang cari perempuan lain nanti, itu semua salah awak. Awak tanggunglah dosa. Awak yang berdosa sebab tak layan abang!”
Bagaikan petir menyambar, hati Mariam bergetar hebat. Air matanya jatuh tanpa disedari. Tapi bukan sebab sedih — kali ini kerana marah dan tercabar. Dia berpaling, menatap Hakim dengan mata yang penuh kecewa.
“Abang… waktu saya merayu dulu, mintak abang peluk, mintak abang teman tidur, abang tolak. Berbulan-bulan saya pendam, saya rasa macam isteri yang tak diingini. Sekarang bila abang nak, baru abang panggil. Saya ni apa pada abang? Macam pelacur yang abang bayar cukup nafkah, kemudian abang guna bila perlu?”
Suasana jadi senyap. Hakim terkaku. Mariam menarik nafas panjang, menahan sebak.
“Cukup, bang. Hati saya dah tawar. Segala tanggungjawab rumah, anak-anak, semua saya buat sorang. Abang tak pernah fikir saya ni manusia yang ada hati dan perasaan. Kalau itu namanya perkahwinan, saya dah tak sanggup. Lepaskan saya, bang. Saya tak nak lagi hidup dengan abang!”
Kata-kata itu pecah akhirnya, setelah 11 tahun dia memendam. Hakim menunduk, wajahnya berubah. Baru kini dia sedar, isteri yang setia itu sudah hilang rasa.
👩🦱 Kisah Mariam & Hakim (Bahagian 2)
Selepas luahan berapi Mariam pagi itu, Hakim hanya terdiam lama. Matanya merenung kosong wajah isterinya, kemudian dia menghela nafas berat.
“Dah lah… abang nak pergi kerja. Kang lambat pulak.”
Dia terus beredar, meninggalkan Mariam yang kaku dengan hati berkecai. Mariam melangkah perlahan ke bilik air. Air mata mengalir deras di bawah pancuran. Dia tidak jadi pergi kerja hari itu. Dengan suara bergetar, dia menghubungi bos, memohon cuti kecemasan. Anak-anak masih lena diulit mimpi.
Hatinya sebal, kosong, remuk. Tangannya melipat baju, tapi fikirannya melayang pada kata-kata Hakim. Tiba-tiba telefon berbunyi.
📩 “Sayang, abang minta maaf. Abang tak patut cakap macam tu.”
Mariam menatap mesej itu lama.
“Semudah itu je? Bertahun-tahun abang buat hati aku luka, dan hanya dengan perkataan maaf abang rasa semua selesai?”
Tangannya laju menaip balasan.
📩 “Saya tak perlukan maaf lagi. Saya cuma nak abang lepaskan saya. Saya nak cari bahagia saya sendiri. Anak-anak… kalau abang nak jaga, silakan. Kalau abang tak nak, biar saya yang jaga. Saya dah tak sanggup, Hakim. Hati saya dah mati.”
Tiada balasan. Sunyi.
Namun, 30 minit kemudian, pintu bilik pakaian terbuka. Hakim berdiri di situ, wajah sugul, mata berkaca. Perlahan-lahan dia melangkah masuk, lalu berlutut di hadapan Mariam. Mariam terkejut, figura yang selama ini ego sanggup berlutut didepannya
“Mariam… ampunkan abang. Tolong… jangan tinggalkan abang.”
Mariam tidak menoleh. Tangannya tetap melipat baju, air mata jatuh tanpa henti. Dia sudah terlalu letih. Kali ini tiada lagi ruang untuk simpati.
Hakim tersentak. Selama ini, setiap kali dia meminta maaf, Mariam akan lembut hati. Tapi kali ini, wajah isterinya benar-benar dingin. Tiada lagi cahaya. Tiada lagi senyuman. Hanya kosong. Hari-hari berikutnya, Hakim mula berubah. Dia cuba mengambil alih kerja rumah, menguruskan anak-anak, menyediakan makanan.
Semua beban yang selama ini Mariam pikul sendirian, dia cuba galas. Tetapi Mariam tetap dingin, seolah-olah suaminya hanyalah orang asing di rumah itu. Melihat kesungguhan Hakim,Mariam berfikir, benarkah dia telah mati rasa kepada suaminya itu. Hinggalah satu malam. Mariam duduk di hujung katil, membelakangi Hakim. Suaranya serak, tubuhnya bergetar menahan tangis.
“Hakim… malam ni saya nak bercakap dengan awak. Saya nak luahkan semua yang saya simpan selama ni. Tolong dengar sampai habis, jangan cakap apa-apa selagi saya tak habis.”
Hakim mengangguk perlahan.
“Ya, sayang. Abang dengar.”
Dan di situlah segalanya pecah. Mariam menangis teresak-esak.
“Selama berbelas tahun ni, saya sabar. Saya tahan. Awak tak pernah peduli perasaan saya. Awak lebih pentingkan motor, kawan-kawan, kerja awak… tapi saya? Saya hanya isteri yang awak layan bila awak nak, kemudian awak buang bila awak dah puas.”
“Abang tahu tak, berapa kali saya rayu awak tidur dengan saya? Saya cuma nak pelukan. Saya cuma nak rasa dilindungi. Saya cuma nak rasa dilayani seperti seorang isteri! Tapi awak selalu tolak. Dan bila saya diam, awak fikir saya redha. Hakikatnya, hati saya hancur berkali-kali.”
Hakim tunduk, air mata jantan jatuh membasahi pipi.
“Mariam… abang menyesal. Abang minta maaf. Abang janji, abang akan jaga awak. Abang akan bahagiakan awak. Abang tak akan sia-siakan awak lagi. Abang cuma ada awak. Takkan ada wanita lain yang sanggup tahan dengan perangai abang macam awak.”
Mariam menoleh perlahan, wajahnya basah dengan air mata.
“Semoga awak betul-betul menyesal, Hakim. Sebab kali ni, saya dah tak ada tenaga nak ulang luka yang sama. Kalau awak nak saya, awak kena buktikan. Kalau tidak… biarlah saya pergi.”
Hakim terdiam, jiwanya luluh. Untuk pertama kali, dia benar-benar sedar: wanita yang selama ini dia abaikan, adalah anugerah terbesar yang Tuhan berikan.
🌹 Kesudahan Kisah Mariam & Hakim 🌹
Hari-hari berlalu penuh penyesalan bagi Hakim. Dia belajar mengambil alih kerja rumah, menjaga anak-anak, dan berusaha menunjukkan cinta yang dulu dia abaikan. Mariam masih dingin, tapi sedikit demi sedikit dia melihat kesungguhan suaminya.
Satu malam, selepas berbincang panjang dan air mata mengalir, mereka akhirnya duduk berdua di ruang tamu. Sunyi, hanya suara kipas menemani. Hakim memandang isterinya dalam-dalam, lalu perlahan berkata:
“Mariam… sebenarnya pagi tu, masa abang keluar kerja, abang hampir eksiden. Tangan abang terketar-ketar pegang stereng, hati abang tak tenang langsung. Abang rasa Allah tegur abang… abang tak pernah rasa macam tu seumur hidup abang.”
Mariam terdiam seketika, kemudian mengangkat kening sambil berkata:
“Tu lah… sakitkan hati bini lagi. Baru rasa nak kena langgar lori.”
Hakim ternganga, kemudian mereka berdua tergelak pecah tawa. Tangisan dan ketegangan beberapa hari itu mencair, berganti senyum yang lama hilang. Hakim lega melihat isteri yang dicintainya tersenyum semula. Gelak tawanya bagaikan menghidupkan hati Hakim. Sudah lama dia tidak mendengar suara tawa itu, tawa yang suatu ketika dahulu menjadi muzik kegemarannya. Dalam diam, Mariam merasakan dirinya kembali jatuh cinta, seolah-olah mereka sedang bercinta semula seperti di awal perkahwinan.
Hakim menarik Mariam ke dalam pelukan. Dengan suara serak penuh tekad, dia berbisik:
“Abang janji, sayang… abang takkan buat lagi. Abang akan jaga hati awak. Sampai bila-bila.”
Mariam diam, hanya membalas pelukan itu. Dalam hatinya, ada sedikit ruang kembali terbuka — ruang yang dulu tertutup rapat kerana luka.
💔 Pengajaran:
- Maaf tidak lagi bermakna bila luka sudah terlalu dalam.
- Kasih sayang tidak boleh dipaksa hadir bila kepercayaan telah hancur.
- Suami yang lalai akhirnya akan sedar, isteri yang diam bukan tanda rela, tapi hati yang sedang mati perlahan-lahan.
🌺 Penutup:Cinta selepas luka memang tidak sama dengan cinta mula-mula. Tapi bila kedua-duanya memilih untuk berusaha, kadang luka itu yang menjadikan cinta lebih kuat, lebih jujur, dan lebih bermakna.
Comments
Post a Comment